Pengalaman Bersalin Secara Induce Part II

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ok, saya sambung pengalaman saya bersalin secara induce Part II pulak ye :) Boleh refer entry Part I di SINI. Entry Part I saya berhenti masa saya mengalami kesukaran untuk solat Zuhur kerana dah merasa sakit-sakit contraction. 

Selepas solat, saya berjalan mundar mandir di dalam bilik. Semakin lama semakin sakit. Dalam pukul 3pm lebih, nurse datang nak check contraction. Tapi tak perlu CTG. Nurse check contraction dengan hanya meletak tangan di atas perut. Bila kita alami kontraksi kan boleh rasa perut keras, jadi macam tula nurse check.. (heee saya baru tahu). Nurse cakap kontraksi memang kuat.. 2 minit sekali.. (memang sangat sakit masa tu). Saya masih tak tahu berapa bukaan. Dalam hati harap dah banyak cm.

Dalam pukul 4pm lebih, doktor datang bersama nurse. Masa tu VE dibuat. Baru buka lebih kurang dalam 2cm-3cm... Allahuakhbar sakit yang teramat sangat. Doktor cadangkan untuk saya ambil ubat penahan sakit sementara bukaan masih kecil dan taknak saya kehilangan tenaga. Mula-mula saya taknak, kemudian fikir-fikir balik, saya setuju. Ubat penahan sakit disuntik kepada saya.

Alhamdulillah, kurang sikit rasa sakit contraction. Nurse datang untuk check tempoh kontraksi. Kontraksi terjadi dalam 4 minit sekali. Masih kuat, tapi terkawal kerana saya dah ambil ubat penahan sakit. Ubat ni juga membuatkan saya rasa mengantuk. Bolehla terlelap kejap-kejap. Saya tanya nurse, berapa lama kesan ubat tahan sakit ni, kata nurse, dalam 4 - 6 jam bergantung kepada individu. 

Saya juga tanya kesan ke atas baby jika ambil ubat ini. Kemungkinan apabila baby dilahirkan, baby tidak akan menangis (saya pernah baca dalam FB kes-kes sebab ambil ubat penahan sakit dan baby tak nangis dan menyebabkan kecacatan kepada baby). Sebab tu lah doktor suruh ambil masa bukaan masih kecil. Apabila bukaan 10cm, kesan ubat penahan sakit akan hilang sepenuhnya.

Masuk waktu Maghrib, nurse buat VE lagi, bukaan dalam 3cm. Allahuakhbar. Lama sungguh. Saya sudah merasa balik kesakitan contraction yang kuat. Kat dalam bilik tu, kejap saya jalan, kejap duduk. Mostly, saya duduk sambil menahan sakit. Ada juga masa-masanya saya rasa seperti hendak membuang air besar. Dalam waktu Isya gitu, nurse datang buat VE lagi. bukaan masih dalam 3cm ke 4cm. Tapi pintu rahim dah lembut kata nurse. Pada masa itu, dah ade "show" di mana dah ade kesan darah. 

Saya pergi ke tandas selepas tu untuk membuang air kecil. Terkejut tengok darah beku keluar seketul (macam waktu period heavy gitu). Memang banyak darah keluar. Ni bukan show, tapi macam turun darah. Cuak jugak rasa. Dalam pukul 9.20 malam gitu, nurse buat VE lagi. Kali ni, dah dalam 4cm. Masa tu, darah memang keluar dengan banyak. Fresh blood pulak. Nurse rasa pelik, saya apatah lagi kan... Nurse ada tanya sama ada uri saya di bawah. Memang masa awal kehamilan, uri saya di bawah. Tapi dah naik dan tak lagi menutup pintu rahim... 

Saya dengar, salah seorang nurse (agak veteran) cakap apabila dah buka 5cm, saya akan ditolak ke labour room. Nurse pun menyediakan saya dengan memasukkan ubat untuk membuang air besar. Dalam beberapa minit, saya pergi ke tandas. Lama juga dan ada beberapa kali saya ke tandas. Tu pun apabila keluar, saya masih terasa seperti hendak ke tandas. Apabila nurse datang dengan kerusi roda, saya masih rasa macam nak ke tandas... Tapi tak pergi pun..

Dalam pukul 10 malam, (masa tu cerita Mok Cun da abis, saya boleh dengar nyanyian Mok Cun Mok Cun la la la.. haha). Saya ditolak dengan kerusi roda ke labour room. Di sana nurse buat VE. Bukaan dalam 5cm. Allahuakhbar, rasa sakit semakin kuat. Saya terbaring di atas katil. Ada gas etonoks untuk saya hidu kalau terasa sakit. 

Kali ni, baru saya tahu cara betul nak tarik nafas apabila menghidu gas etonoks tu. Tapi masa anak pertama dulu, memang terasa macam takde gas. Sungguh... Kali ni memang rasa macam ade gas sejuk-sejuk untuk dihidu. Nurse suruh tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan dalam topeng gas itu sendiri. Agak membantu juga gas etonoks tu. Setiap kali datang contraction, saya tekapkan topeng gas ke muka dan tarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan. Mata saya akan memandang ke arah kanan katil (belakang) (saya mengiring ke kanan masa tu) untuk melihat pergerakan yang menunjukkan saya sedang menarik nafas dengan betul. 

VE dijalankan sekali lagi, kali ini bukaan dalam 7.5cm gitu. Sakitnya waktu tu, tak tahu nak kata. Memang sangat-sangat sakit. Nak teran tak boleh. Memang terima aje sakit tu. Nurse dah minta supaya doktor dipanggil kerana keadaan saya juga agak stress. Masa tu, saya hanya berzikir doa Nabi Yunus dan apa-apa yang terlintas di fikiran. Suami saya memasang ayat-ayat al-Quran. 

VE dibuat lagi, dah buka dalam 8cm. Kali ni, saya terasa jari nurse berpintal-pintal dalam rahim untuk memecahkan air ketuban. Ishhh rasanya... Memang kena banyak bersabar... Lepas tu... terasa air panas keluar. Maknanya air ketuban saya dah dipecahkan... Haishhh jadi wanita ni, walaupun lemah lembut luaran, tapi sebenarnya sangat kuat. Macam-macam dilalui... Hargailah ibu-ibu anda wahai pembaca-pembaca sekalian...

Tak sabar saya nak tunggu bukaan 10cm. Rasa contraction memang sakit tahap gaban. Walaupun sekejap.. lebih kurang less than a minute, buatkan saya tarik nafas dalam-dalam dengan gas etonoks tu. Then doktor pun dah sampai dan saya membetulkan keadaan saya kepada kedudukan berbaring. Katil bahagian kaki dibuka dan kaki saya digantung. Nurse minta kedua-dua tangan saya memegang besi di katil kiri dan kanan dan boleh push apabila terasa contraction sambil mata memandang perut dan dagu menyentuh dada.

Surprisingly, saya tak push. Heeee... Saya ingat pesan doktor, kalau nak push anggap seperti anda membuang air besar macam orang sembelit.... Ingat otot mana yang membantu menolak najis tersebut keluar.. Haha tulah masalah saya. Kalau saya sembelit, saya tak teran, saya tunggu aje najis turun perlahan-lahan. Jadi apabila diminta untuk push, saya push dengan nafas pendek-pendek. Salah ye ibu-ibu yang first time mother sekalian. Kalau nak push, pastikan anda berlatih untuk push dengan nafas yang sangat panjang. Jangan lepas nafas. Curi nafas seperti anda menyelam (kata doktor). 

Saya memang tak dapat push panjang gitu. Masa tu baru teringat anak sulung saya dulu, doktor ada suruh push jangan henti. Masa tu saya terfikir macam mana nak push tanpa henti. Nafas tak cukup panjang. Tapi masa anak sulung dulu, disebabkan nak hilangkan kesakitan, saya push dan push juga walaupun salah dan akhirnya divakum.

Kali ni, doktor dan nurse paksa untuk saya push. Saya biarkan aje waktu contraction datang. Nurse sampai marah kerana saya bazirkan contraction. Saya cuba push tapi perlahan sangat. Doktor sampai bagi amaran, kalau 4 kali lagi saya tak push betul-betul, saya akan di cser. Jantung baby juga semakin lemah. Memang selama saya mengandung ni, kalau boleh saya tak nak cser. Tapi masa sakit tu, saya berserah. Dalam keadaan yang dah tak larat, saya harap doktor cari cara lain untuk mempercepatkan kelahiran. Saya harap doktor vakum aje untuk memudahkan saya bersalin. Tapi kalau nak vakum pun, baby mesti dah nak keluar. Ni baby masih di dalam.

Dengan saki baki tenaga yang ada, dah pukul 12 malam dah pun. Saya push sekuat dan sepanjang nafas yang boleh. Suami saya membantu dengan mengampu kepala saya supaya mata memandang perut dan dagu menyentuh dada. Kemudian saya lepaskan dengan bunyi nafas yang kuat... Nurse dan doktor sekali lagi tegur saya supaya jangan lepaskan nafas dengan kuat, nanti baby masuk balik... Diorang suruh curi nafas.. Adehhhh macam-macam la kan... saya pun dah tak tahu nak buat macam mana... heeee... (sekarang boleh la gelak). 

Saya cuba lagi. Apabila tiba contraction, saya push sepanjang yang boleh. Nurse da bersorak supaya saya push dan push dan push (push panjang dengan sekali nafas tau). Akhirnya selepas beberapa push, saya terasa ring of fire dan saya tahu kepala baby dah hampir keluar. Sekuat tenaga saya push lagi dan doktor melaksanakan episiotomy dan memvakum bayi saya keluar. Pukul 12.17 malam, 21 Ogos 2015, lahirlah anak saya yang kedua...



Allahuakhbar. Pengalaman bersalin kali ini sangat-sangat jelas. Saya dapat merasakan proses bersalin ini dan kesakitannya terjadi satu per satu. Lain sangat dengan anak yang sulung yang terasa terlalu pantas (6 jam). Kali ni sampai 10 jam. Saya tahu ramai lagi ibu-ibu di luar sana yang mengalami proses bersalin yang lebih lama. Kudos to all mothers. Doesn't matter how the process was, either normal or cser, all of you are fighters :) Patutlah ganjaran Allah sangat besar ke atas wanita dan ibu yang solehah :')

Dalam kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Encik Husband yang sabar menemani dari awal sampai saya selamat melahirkan. Apa yang saya ingat sangat ialah masa Encik Husband tolong ampu kepala saya semasa saya push.. Suatu jasa yang saya takkan lupa sampai bila-bila... Saya memang dah tak larat. Tindakan tu memang membantu untuk memudahkan saya melahirkan. Terima kasih sayang... 

Kepada ibu-ibu sekalian, saya doakan anda semua dipermudahkan apabila hendak melahirkan nanti. InsyaAllah, sesungguhnya apa sahaja yang anda rasa, semuanya daripada Allah. Para suami, hargailah segala jasa dan pengorbanan isteri anda.... :)

Terima kasih sebab sudi baca entry yang panjang ni... :)

~The End~
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

ohhh my.....pengalaman u ingatkan i ms bersalinkan ank sulung..kena vakuum...huhuhu..sgt2 sakit...tp ms bersalin ank kedua Julai lps, x kena vakuum, tp sy dpt rasai sndri kepala anak keluar dr bawah tu..ms sulung dulu sbb vakuum n ubat thn sakit masih ade lg, so rs kebas2 ms kpla anak keluar...patutlah ank x menangis ms tu..lps bgtau doc, ank sy x menangis ke..xtau dorg buat ape,lps tu dgr suara anak menangis..rupanya kesan dr ubat thn sakit tu ye..thnx for sharing sis..

Balas