Perginya pasti dirindui

Hari itu, Jumaat. Tiba-tiba aku mendapat panggilan daripada mama pada pukul 6.50 petang. Jarang sangat bagi mama untuk menelefon pada waktu-waktu begitu. Dalam sedang memegang stereng, aku menjawab panggilan mama di telefon yang terletak di pemegang dashboard dengan menggunakan pembesar suara.

"Hello ma", kataku. "Na, Mudin meninggal!" Kata-kata mama membuatkan aku terkedu. Haaaa???? Innalillahi wainnailaihirojiun. Terkejut sangat aku mendengar berita itu. Setahu aku, pakcikku, Mudin adalah seorang yang sihat. Mungkinlah ada sakit demam yang aku tidak tahu. Tapi selama ini, memang sihat aje keadaannya 😌

Kali terakhir aku berjumpa dengan Mudin masa Aidiladha baru-baru ini. Tak sangka itulah pertemuan terakhir aku dengannya. Mujur juga aku pulang ke kampung halaman semasa Aidiladha tu. 

Allahuakhbar rasa terlalu ingin aku pulang menjenguk arwah sebelum dikebumikan. Tapi dengan keadaan sekarang, hanya doa mampu aku kirimkan. 

Sesungguhnya mati itu rahsia Allah. Puas aku tunggu berita daripada mama tentang asbab kematian Mudin. Mama pergi berziarah lepas Maghrib. Pukul 1 pagi hari Sabtu baru aku dapat cakap dengan mama selepas mama pulang berziarah. 

Kata mama, Jumaat tu, lepas solat Jumaat, Mudin keluar bersama anak bongsunya untuk membeli makanan. Dalam perjalanan, Mudin pengsan dalam keadaan sedang memandu dan terlanggar belakang lori. Anak bongsunya segera menarik hand break.

Selepas itu, Mudin dihantar ke hospital Sungai Petani. Daripada apa yang mama cakap, Mudin mengalami tekanan darah rendah dan lemah jantung. Hospital Sungai Petani bercadang nak hantar ke Hospital Alor Setar pulak. Tapi belum sempat dihantar, Mudin telah terlebih dahulu pulang ke Pencipta Yang Maha Agung. Innalillahi wainnailaihirojiun. 

Aku menulis kali ni hanya untuk mengabdikan kenangan. Mudin, pakcikku ini, kalau kalian tanya, kenapa panggil Mudin? Sebab orang Penang, panggil pakcik tu sebagai "Mamu". Tapi aku adik beradik panggil Mudin aja 😁

Aku membesar dengan Mudin. Kecik-kecik dulu, sebelum Mudin kahwin, Mudin tinggal bersama kami. Setelah beberapa tahun berkahwin, barulah Mudin berpindah ke rumah sendiri. Selepas berkahwin, Mudin belum ada anak. Tapi rajinlah aku dibawa ke sana ke mari berjalan-jalan. Mana aku tak sayang Mudin. Aku dilayan macam anak sendiri oleh Mudin dan aunty.

Lepas berpindah, apabila cuti sekolah, aku memang rajin ikut Mudin balik Sungai Petani. Sampai Mudin ada dua tiga anak pun aku masih rajin mengikut Mudin balik bila berkesempatan. 

Apabila dah dewasa, diakui memang jarang dah aku jumpa Mudin. Masing-masing dengan keluarga sendiri. Selalunya berkesempatan pada waktu raya je. Itupun jika aku balik awal. 

Sungguh aku sedih apabila Mudin telah tiada. Kata suamiku, urusan Mudin di dunia dah selesai. Maka pulanglah dia ke pangkuan Allah. Betul kata suamiku. Ini membuatkan aku terfikir, dunia ini terlalu singkat. Bila-bila masa sahaja boleh dipanggil balik. Kita pun tahu, dunia bukan tempat untuk tinggal tapi untuk meninggal!

Mudin.... Na sayang mudin. Na tak lupa segala kasih sayang yang telah Mudin curahkan untuk Na, mama dan keluarga kami. Beberapa tahun dulu, masa abah nak diusung ke Operation Teater untuk Bypass procedure di IJN, Mudin awal-awal lagi dah ada di samping abah dan mengiringi abah.

Tahun lepas, di saat mama nak diusung untuk pembedahan serviks, Mudin juga berada di sisi mama mengiringi mama sehingga ke bilik pembedahan. 

Allahuakhbar. Kini Mudin dah tiada. Tiada lagi Whatsapp peringatan daripada Mudin. Hanya doa Na titipkan untukmu, Mudin. Na pasti ramai menangisi pemergian Mudin. Mudinlah satu-satunya yang memang akan sentiasa ada untuk semua, dikala orang lain tiada.

Al-Fatihah untukmu, Shaharuddin Bin Ismail.

Previous
Next Post »
0 Komentar