Kerinduan seorang Raja kepada Rasullullah seribu tahun sebelum kelahirannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua 😉 Bersawang blog kesayangan dah lama tak terupdate dengan kisah baru. Hari ni kak yone nak share satu kisah yang kak yone ekstrak dari IKIM. Kisahnya berkenaan seorang Raja yang rindukan Rasullullah SAW seribu tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Mula-mula kak yone dengar, meremang bulu roma. Masakan tidak, seorang raja, walaupun tak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW, tetapi terlalui merindui Nabi sehingga mewasiatkan sepucuk surat kepada Rasulullah SAW.

Kisahnya begini:

Pada masa dahulu, ada seorang Raja yang bernama Raja Tubba' al-Awwal yang merupakan seorang raja yang beragamakan Agama Nabi Ibrahim. Raja Tubba' ini merupakan seorang raja yang sangat baik dan soleh, tinggal di Yemen. 

Pada suatu hari, Raja Tubba' membuat keputusan untuk merantau ke seluruh dunia untuk melihat kebesaran Allah. Maka keluarlah Raja Tubba' mengembara bersama bala tentera, harta serta para alim ulama' seramai 4,000 orang.

Apabila tibanya Raja Tubba' di negara-negara yang disinggahinya, baginda akan disambut dengan gilang gemilang. Namun setibanya di Makkah, tiada siapa yang menyambut Raja Tubba'. Apabila dirisik oleh menteri-menteri Raja Tubba', kata mereka orang Makkah ini orang yang kurang berilmu dan menyembah suatu batu besar yang disebut Kaabah.

Di dalam hati Raja Tubba' terdetik rasa marah kerana tiada sambutan ke atas kedatangannya dan keinginan untuk membunuh penduduk Makkah dan merobohkan Kaabah. Di atas kuasa Allah, tiba-tiba Raja Tubba jatuh sakit. Keluar nanah daripada mulut dan hidung Raja Tubba'. 

Puas doktor-doktor merawat Raja Tubba' namun penyakitnya tidak dapat disembuhkan. Sehinggalah datangnya seorang alim dan disuruhnya Raja Tubba' fikir semula apa yang mungkin menyebabkan keadaan ini. Sebabnya, Raja Tubba' ini seorang raja yang baik. Jadi kenapa tak sembuh-sembuh penyakitnya.

Lalu berceritalah Raja Tubba' kepada alim tersebut di atas lintasan hatinya yang berniat untuk membunuh penduduk Makkah dan merobohkan Kaabah. Maka alim tersebut menasihatkan Raja Tubba' supaya bertaubat. Selepas bertaubat, dengan keizinan Allah, sembuhlah Raja Tubba'.

Selepas bertaubat, Raja Tubba' berubah fikiran. Baginda melayan baik rakyat Makkah, malah bagindalah orang pertama yang memberi pakaian kepada Kaabah yang kita panggil sebagai kain kiswah.


Gambar ihsan Google

Kemudian rombongan baginda singgah pula ke Yathrib (Madinah). Di situ, Raja Tubba' mendapat tahu bahawa suatu masa nanti akan ada Nabi akhir zaman berhijrah ke Yathrib. Alim ulamak yang mengikut Raja Tubba' seramai 400 orang, tidak mahu lagi menyertai pengembaraan Raja Tubba'. 

Oleh itu, Raja Tubba' memutuskan untuk menunggu kedatangan Nabi Muhammad SAW. Sepanjang Raja Tubba' berada di Yathrib, Yathrib dibangunkan. Banyak bangunan-bangunan dibina. Alim ulamak yang ditinggalkan, diberi rumah dan harta. 

Namun, setelah setahun menunggu, Rasulullah tidak kunjung tiba. Maka Raja Tubba' menulis sepucuk surat kepada Nabi Muhammad SAW dan diamanahkan alim ulamak yang tinggal untuk menyampaikan surat tersebut.

Antara isi kandungan surat tersebut ialah:

💚 Raja Tubba' memberitahu bahawa baginda menunggu kedatangan Nabi Muhammad SAW tapi belum ditakdirkan untuk berjumpa.

💚 Sesungguhnya bagindalah orang pertama yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan kitabnya.

💚 Raja Tubba' beriman kepada Allah dan berdiri di atas sunnah Rasulullah SAW.

💚 Kalaulah Raja Tubba' dapat berjumpa Nabi, maka ia merupakan suatu nikmat. 

💚 Namun, jika tidak dapat berjumpa dengan Nabi, maka di akhirat nanti, kurniakanlah syafaatmu.

Selepas itu, Raja Tubba' mengembara ke beberapa negara lain dan akhirnya meninggal dunia di India. Jarak masa di antara kematian Raja Tubba' dan kelahiran Nabi Muhammad SAW ialah seribu tahun lamanya. 

Allahuakhbar, betapa lamanya jarak itu. Surat yang ditinggalkan oleh Raja Tubba' dijaga oleh generasi-generasi alim ulamak yang tinggal di Yathrib, sehinggalah ke zaman Abdul Rahman Bin Auf. Abdul Rahman bin Auf mengarahkan Abu Lailah membawa surat itu dan berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

Apabila berhadapan dengan Nabi, Nabi terus bertanya di manakah surat Raja Tubba'. Apabila diserahkan kepada Nabi, Nabi meminta Saidina Ali untuk membacakan surat tersebut. Akhirnya Nabi berkata bahawa baginda akan berhijrah ke Yathrib apabila tibanya wahyu daripada Allah SWT.

Apabila Allah telah mewahyukan untuk Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Yathrib, maka berlumba-lumbalah penduduk Yathrib menawarkan tempat tinggal kepada Nabi. Oleh itu, Nabi membiarkan unta Nabi yang bernama Kaswah memutuskan di rumah siapa Nabi akan tinggal.

Akhirnya unta Nabi berhenti di hadapan rumah Abu Ayub Al-Ansari. Bermakna di situlah Nabi akan bermalam. Yang ajaibnya lagi, rumah itu jugalah yang dibina oleh Raja Tubba' sebagai kediaman Nabi di Yathrib. 

Allahuakhbar! Walaupun dalam hayat Raja Tubba' tidak dapat bertemu Nabi, tapi segala persediaan Raja Tubba' untuk menyambut kedatangan Nabi, Allah temukan juga dengan Nabi Muhammad SAW, walaupun jaraknya melebihi 1000 tahun! 😅

Allahuakhbar, begitulah kisahnya kerinduan seorang raja kepada Rasulullah. Walaupun tidak pernah melihat Nabi, tetapi keimanan dan kepercayaan kepada Nabi dan agamanya melebihi segala-galanya. 

Kita pula yang punya segala-galanya tinggalan nabi sebagai panduan hidup dan jaraknya juga melebihi 1000 tahun selepas pemergian Nabi, apa rasanya? Rindukah kita pada Rasulullah SAW? 

Ketahuilah juga pembaca-pembaca yang disayangi, sayangilah Nabi Muhammad SAW sepenuhnya kerana apabila kita dibangkitkan nanti, kita akan bersama dengan orang yang kita sayang. InsyaAllah, biarlah kita bersama dengan Nabi Muhammad SAW di hari akhirat nanti 😊
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Terima kasih kak yone atas perkongsian kisah rindu raja Tubba' terhadap Nabi sebab saya hanya dengar di ikim sekerat ajer.

Balas