Jumaat yang Berkat

Jumaat yang Berkat

Di hari Jumaat yang berkat ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk sama-samalah kita bermuhasabah diri dan melihat semula apa yang terjadi di sekeliling kita. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, mungkin tanpa kita sedari, kita sebenarnya sedang dilanda ujian yang sangat hebat. 

Terlalu banyak perkara yang terjadi kepada kita. Isu yang paling besar ialah kehilangan pesawat MH370. Terlalu banyak spekulasi yang keluar sampai sudah tidak tahu apa yang harus dibaca. Betullah kata Kapten Norudin Abd Majid, kembalilah kepada pencipta iaitu Allah S.W.T yang Maha Mengetahui akan segala-galanya. 

Tidak habis dengan isu MH370, negara kita sekali lagi dilanda jerebu yang kini berada di tahap tidak sihat. Sekolah-sekolah di Klang terpaksa ditutup pada hari ini kerana IPU berada di tahap bahaya. Di samping itu, kawasan-kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menghadapi catuan air akibat daripada cuaca panas dan kering yang berpanjangan dan empangan semakin mengering airnya. Ya Allah, begitu besar dugaanMu. Terima kasih Ya Allah, sesungguhnya Engkau amat menyayangi kami kerana itulah Engkau turunkan dugaan ini semua untuk mengingatkan kami yang lalai dan leka untuk kembali kepadaMu.  

Ya Allah, Engkau satukanlah hati-hati kami ini untuk bersatu padu dan kembali kepadaMu. Jadikanlah Malaysia, negara kami ini, kembali kepada fitrahMu. Jauhkanlah kami daripada kemaksiatan dan kemungkaran. Peliharalah kami keseluruhannya daripada murkaMu. Hanya kepada Engkau kami bergantung harap dan kepada Engkau jua lah kami kembali. Matikanlah kami dalam redha dan kasih sayangMu. Wasallallah Hu A'la Saidina Muhammadin Waa'la Alihi Wasahbihi Wabarik Wasallim Walhamdulilah Hi Rabbil A'lamin.


Previous
Next Post »
0 Komentar