Najis Berdarah Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Pengalaman Saya Sendiri

Kali ini saya menulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya perasan dalam beberapa hari (to be spesific sejak hari Rabu lepas), anak saya mula membuang air besar yang agak cair pekat. Sebab sebelum tu saya perasan juga yang Nur Muhammad buang air besar agak keras. 

Sebenarnya, pada hari Rabu itu, suami saya ada belikan KFC untuk Nur Muhammad. Saya tahu sangat kalau makan KFC, selalunya Nur Muhammad akan mudah untuk membuang air besar. Jadi saya tidak merasa pelik dengan perubahan najis tersebut. Namun, najis yang agak cair pekat itu berlarutan sehingga hari Jumaat. Pada awal pagi Jumaat, Nur Muhammad bangun dalam pukul 2 atau 3 pagi dan buang air besar. Suami saya bangun dan basuhkan dan selepas itu kembali tidur. Namun Nur Muhammad tidur dalam rengekan. Mungkin kerana tidak sedap perut.

Di siang hari, Nur Muhammad kelihatan normal. Aktif seperti kanak-kanak lain. Memang dia ada membuang air besar. Tapi kelihatan normal sahaja tingkahlakunya. Tidak mengadu sebarang sakit perut yang keterlaluan. Pada awal hari Sabtu, sekali lagi Nur Muhammad bangun dalam pukul 2 atau 3 pagi dan menyuruh suami saya membasuhkan najisnya. Pada malam itu, saya agak kepenatan langsung tidak sedar apa yang terjadi. Pada waktu pagi sabtu itu, selepas Subuh, suami saya memberitahu yang Nur Muhammad mengadu kesakitan perut sepanjang malam dan meminta saya membawa Nur Muhammad ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Saya membawa Nur Muhammad ke klinik UMRA kerana sejak kecil Nur Muhammad dirawat di situ. Memang diketahui sangat kalau ke klinik, memang terpaksa tunggu agak lama kerana terlalu ramai orang ingin mendapatkan rawatan. Saya tunggu hampir dua jam sebelum dipanggil bertemu dengan doktor. Dalam masa menunggu itu, beberapa kali Nur Muhammad mengadu dan menangis kerana sakit perut yang amat sangat. Memang tak tahan melihat kesakitan yang dialami oleh Nur Muhammad. Namun Nur Muhammad tidak membuang air besar pun semasa menunggu doktor.

Apabila berjumpa dengan doktor, Nur Muhammad kelihatan ok. Takde pulak sakit perut...ishhhh..selalu begitu..heee.. Jadi apabila doktor melihat telatah Nur Muhammad yang normal dan menekan-nekan perut Nur Muhammad, memang tiada sebarang reaksi kesakitan. Jadi doktor rumuskan yang Nur Muhammad mungkin mengalami angin. Dia nasihatkan sakit perut Nur Muhammad sepatutnya dalam dua hari akan baik. Kalau Nur Muhammad disyaki mengalami apendiks, mesti Nur Muhammad akan kesakitan yang amat sangat apabila ditekan di perut bahagian kanannya. Doktor juga bertanya sama ada Nur Muhammad ada muntah atau keluar najis berdarah? Setakat saya atau suami saya basuhkan najis Nur Muhammad, tak ada pula kelihatan tanda-tanda darah. Jadi saya menidakkan. Nur Muhammad memang tidak muntah.                       

Nak dijadikan cerita, hari itu, memang sangat menguji kesabaran saya dalam menunggu. Nak ambil ubat pun terpaksa menunggu seketika. Nur Muhammad mula menangis dan merengek kembali kerana sakit perut. Selepas mengambil ubat, terus saya balik rumah dan memberi Nur Muhammad makan ubat angin. Selepas itu, Nur Muhammad buang air besar dengan najis yang agak cair. Bukan sekali pula, tak lama selepas itu, sekali lagi Nur Muhammad buang air besar. Najisnya semakin cair. Jadi saya tahu, berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, Nur Muhammad perlu minum Smecta untuk mengurangkan cirit biritnya. Tapi untuk menyuruh Nur Muhammad minum Smecta, almost to impossible. Jadi saya paksakan dia dengan memberi mengikut "syringe". Walaupun sikit tapi sekurang-kurangnya Nur Muhammad minum Smecta tersebut.

Pada petang itu, saya ke KLIA2 kerana menghantar abah yang akan berlepas ke India bersama rombongan Tabligh. Alhamdulillah Nur Muhammad kelihatan baik. Cuma ada dua atau tiga kali mengadu sakit perut yang kemudian hilang dengan sendirinya. Nur Muhammad tetap aktif. Pada malam hari, selepas dinner, Nur Muhammad buang air besar lagi. Tapi Nur Muhammad tidak mengadu sakit perut seperti di klinik.

Esoknya Ahad, saya dan suami memang telah membeli tiket untuk menonton cerita Spiderman2. Tapi pagi-pagi lagi selepas bangun tidur, Nur Muhammad ada mengadu sakit perut. Tapi dia tidak buang air besar. Maka kami pun pergi menonton wayang. Sesampainya dia Sunway Pyramid, Nur Muhammad mengadu lagi sakit perut. suami saya mendukung Nur Muhammad dan Nur Muhammad kelihatan ok. Masuk ke dalam panggung, di awal movie tersebut, Nur Muhammad ok dan makan popcorn. Tak lama selepas itu, dia mula mengadu sakit perut lagi. Suami saya membawa Nur Muhammad keluar dan Nur Muhammad membuang air besar. Saya ada membawa satu pampers sebagai back up. Apabila masuk semula ke dalam panggung, duduk sekejap, Nur Muhammad mengadu sakit perut semula. Jadi suami saya membawa Nur Muhammad keluar. Sekali lagi Nur Muhammad membuang air besar. Kali ini, apabila suami saya masuk semula, dia suruh kami beredar memandangkan ada darah bersama najis Nur Muhammad.

Pada masa itu, hati saya sudah tidak keruan. Mungkin kerana kekurangan ilmu, saya fikir yang bukan-bukan. Doktor ada berpesan, kalau Nur Muhammad masih lagi tidak baik, maka kami kena membawanya ke hospital. Bukan saya tak nak bawa. tapi tak sampai sebulan Nur Muhammad dimasukkan ke hospital kerana sakit kaki sebelum ini. Saya tahu sangat, kalau ke hospital, kemungkinan besar akan ditahan. Sesampai di rumah, Nur Muhammad mula cirit birit. Tapi syukur kerana Nur Muhammad tetap aktif. Dia tak mengadu sakit perut dan kalau cirit sekalipun, dia kelihatan lebih baik. Mungkin Nur Muhammad menahan daripada membuang air besar semasa kami keluar. Itu yang menyebabkan dia merasa sakit yang amat sangat. 

Darah yang keluar bersama najis Nur Muhammad itu tidak pekat warna merahnya. Seolah-olah darah haid tapi di akhir-akhirnya, merah dan coklat-coklat sikit warnanya. Hati ibu mana lah yang tidak risau, kerana ada satu ketika, hanya darah yang keluar bersama lendir. Memandangkan keadaan Nur Muhammad yang cirit birit itu, Mama saya memasak sup untuk Nur Muhammad pada hari itu. Alhamdulillah syukur, walaupun Nur Muhammad mengalami cirit birit, tapi Nur Muhammad tetap makan dan minum. Mungkin tidak terlalu banyak tapi cukup untuk mengalas perutnya. 

Kami tunggu dan bertanya kepada ahli keluarga, rakan-rakan yang berpengalaman serta doktor yang juga rakan kami untuk mendapatkan second opinion. Semua mengatakan tidak ada apa-apa yang serius. Akhirnya rakan doktor saya memberitahu kemungkinan besar darah yang keluar bersama najis tersebut disebabkan Nur Muhammad mengalami sembelit sebelum ini dan menyebabkan luka di kawasan usus bawahnya. Memandang Nur Muhammad tidak mengalami demam, rakan saya menasihatkan saya supaya tidak memberi makanan pedas atau pejal kepada Nur Muhammad untuk memberi masa kepada luka tersebut pulih. Ini juga untuk menghalang luka tersebut daripada dijangkiti kuman yang boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius.

Sampai ke hari ini, Nur Muhammad semakin pulih. Najisnya tidak lagi cair dan kembali seperti biasa. Syukur kerana Nur Muhammad juga tidak mengadu sakit-sakit perut lagi. Saya harap entry kali ini dapat membantu ibu bapa di luar sana yang mengalami masalah yang serupa. Apa-apa, akan saya updatekan lagi. Bagi ibu bapa di luar sana, perhatikan anak anda. Jika keadaannya nampak teruk, elok dibawa berjumpa dengan yang pakar.

Terima kasih kerana membaca :)
Previous
Next Post »
0 Komentar